Thursday, March 4, 2010

Pesan Atuk....







Rahmat Ujian Tanda Kasih Allah


Dalam kita menghadapi ujian, pasti ada jalan keluarnya.

Sebagai langkah pertama cuba fahami dan hayatilah pesanan Nabi Muhammad SAW yang berbunyi, "sebaik-baik ibadah ialah sabar menunggu jalan keluar". Ini bermakna tidak ada satu ujian pun yang akan kekal.

Mana mungkin ada malam yang tidak ada siang, pagi tanpa digantikan dengan petang, mana mungkin banjir berpanjangan dan tidak akan terjadi kemarau berpanjangan. Jika ini kenyataan yang terjadi bermakna Allah tidak pernah tidak adil pada makhluknya. Bagi memperhatikan lagi cinta Allah pada makhluk-Nya dan membuktikan lagi kehebatan Allah Yang Maha Adil maka dibekalkan makhluk-Nya dengan pesanan melalui surah Hud :81 yang berbunyi,

"Bukankah Subuh itu sudah tiba."
Subuh bermakna betapa pun panjangnya malam pekat pasti akan bertemu dengan waktu tamatnya. Oleh iu betapa pun berat dan panjangnya penderitaan yang ditanggung oleh hamba Allah, Dia telah menjelaskan pasti Allah menemukan saat penyembuhan untuk keluar daripada permasalahan itu. Subuh bermakna cahaya fajar bagi orang yang ditimpa kesedihan itu telah menyerlah. Maka pandai-pandailah merasai sapaan dan sentuhan suria pagi, tunggulah panasnya bebola mentari pagi sebagai tanda bahawa kemenangan telah datang dari Yang Maha Berkuasa.

Oleh itu, laluilah kehidupan dengan keyakinan,dan rasailah sentuhan Allah tidak pernah putus kepada kita hamba-Nya. Ini dipastikan dalam janji Allah bahawa Allah tidak pernah mengantuk, tidak pernah penat, berhenti mengurus langit dan bumi serta seluruh isinya. Anggaplah suatu permasalahan itu sebagai seperti seutas tali. Jika tali itu sudah sangat tegang, maka ia akan segera putus. Ertinya jika persoalan itu sudah kritis atau matang, maka tunggu kerana ia pasti akan berhenti dan ditemukan dengan jalan keluar.
Allah akan pastikan setiap kesedihan dan kegembiraan itu menemui penghujungnya. Ini ditegaskan lagi oleh Allah,
"Dan barang siapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan menjadikan baginya jalan kemudahan dalam urusannya (QS Ath-Thalaq:4).
Ini janji Allah yang sangat pasti, maka bangunkan keyakinan dan panjatkan doa dan kesedihan kepada-Nya, pasti kita akan berasa bahawa kesedihan tidak berpanjangan kerana Allah tidak membenarkan keadaan itu terjadi selagi kita hambanya tidak berputus asa dari rahmat Allah. Sebab itu Allah menjanjikan,
"Maka, sesungguhnya bersama dengan kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan." (QS Al: Insyirah:5-6)
Dengan syarat kita yakin sepenuhnya bahawa apa yang kita lakukan kerana Allah dan mahu mendapat reda Allah, bukan kerana manusia.

Cabar Diri Untuk Berjaya

Kejayaan bukanlah suatu misteri yang tidak terungkap. Malah sekiranya seseorang itu telah melakukan sesuatu perkara maka orang lain pasti mampu melakukannya juga.

Kita mungkin tidak bercita-cita terlalu tinggi seperti;


Datuk Azhar Mansor yang berlayar di lautan luas seorang diri
Datuk Abdul Malek yang berenang merentasi Selat Inggeris
Shalin Zulkifli yang menjadi ratu bowling negara
Yap Sui Lin yang mendapat 16A dalam SPMnya.
Tetapi janganlah pula sekadar selesa dengan pencapaian yang biasa hingga tiada apa yang boleh dibanggakan oleh kita atau yang boleh diceritakan kepada anak cucu kita nanti. Sekurang-kurangnya, kalau kita sebagai pekerja maka berusahalah untuk menjadi pekerja yang cemerlang hingga menerima anugerah dari majikan. Kalau kita seorang usahawan binalah empayar perniagaan kita yang mampu diwarisi oleh anak cucu. Kalau kita sebagai seorang pelajar belajarlah dan berusahalah hingga sampai ke peringkat yang tertinggi.

Kejayaan bolehlah ditakrifkan sebagai pencapaian seseorang menepati matlamat atau sasaran yang telah ditetapkan olehnya. Oleh itu kejayaan adalah suatu bentuk yang subjektif dan relatif dengan individu itu sendiri. Bagi seseorang usahawan, memperolehi pendapatan RM10,000 sebulan itu adalah menepati sasaran awalnya dan baginya ia adalah satu kejayaan. Tetapi RM10,000 ini mungkin suatu kegagalan bagi usahawan yang pada kebiasaannya mampu menjana pendapatan RM50,000 sebulan. Apabila kita tiba ke matlamat yang telah ditetapkan kita mula rasa selesa.

Setelah beberapa ketika kita rasa tiada apa lagi yang mencabar di tahap tersebut. Kalau kita terus berada dalam zon selesa itu maka lambat laun kita akan gagal kerana orang lain sudah semakin maju. Oleh itu perlu bagi kita setelah mencapai satu sasaran, kemudiannya mencabar diri untuk maju ketahap yang seterusnya pula.

Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk cabar diri bagi terus maju dalam kehidupan.

1. Letakkan Sasaran Yang Tinggi:

Apabila satu matlamat dicapai maka teruslah menetapkan matlamat baru yang lebih tinggi lagi. Misalnya, dulunya sebagai seorang pelajar kita sering dapat nombor yang tercorot dalam kelas maka letaklah matlamat untuk meletakkan nama kita dalam 10 pelajar terbaik. Cabar diri untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai sasaran itu. Kalau satu hari kita berjaya merealisasikannya, maka mula letakkan sasaran baru untuk jadi pelajar nombor 1 pula.

Kalau kita seorang usahawan maka letakkan sasaran untuk mengembangkan perniagaan kita ke seluruh pelusuk negeri bukan sekadar berniaga setempat sahaja. Kalau sasaran itu dicapai, cabar diri dengan sasaran baru untuk mengembangkan perniagaan ke seluruh negara dan tidak mustahil selepas itu sampai ke peringkat antarabangsa pula. Sasaran yang tinggi ini sentiasa membuatkan kita memandang ke depan. Hasilnya, tanpa kita sedari kita semakin hari semakin maju dalam bidang yang kita ceburi tersebut.

2. Cemburu Dengan Kejayaan Orang Lain:

Lihat mereka yang lebih berjaya dari kita. Kalau orang lain boleh kita juga boleh. Untuk maju kita mesti cemburu dengan kejayaan orang lain dan cabar diri kita untuk berusaha lebih dari orang lain. Kalau kita tidak tahu bagaimana mahu melakukannya maka belajarlah dari mereka yang telah berjaya. Buka mulut dan bertanya. Jangan sekadar berdiam diri kerana tiada apa yang berlaku kalau kita tidak bertindak.

Baca kisah-kisah kejayaan orang lain, hayati bagaimana mereka menghadapi cabaran dan menyusuri liku-liku kepayahan sebelum nama mereka tersohor. Sikap cemburu dengan kejayaan orang lain ini mestilah ditanam untuk membentuk suatu persaingan yang sihat bukannya cemburu yang membawa kepada sifat dengki dan irihati yang membuatkan kita mengambil langkah-langkah buruk menjatuhkan saingan kita.

Perasaan cemburu ini patut terbit lebih-lebih lagi apabila mereka yang lebih lemah, lebih muda, dan kurang upaya dari kita mampu mencapai satu pencapaian yang luar biasa. Saudara Abdul Halim, seorang yang kudung kaki dan tangannya tetapi boleh belajar masuk universiti, keluar sebagai akauntan, buka syarikat sendiri dan pernah terima anugerah daripada Perdana Menteri Malaysia. Tak cemburukah kita?

3. Elakkan Dari Sikap Cepat Puashati:

Sikap cepat berpuashati adalah penyakit yang menghalang diri kita untuk terus berjaya. Apabila kita sudah meraih pendapatan RM10,000 sebulan kita mula rasa selesa dan kita berkata,

“Aku ni kira oklah, berapa kerat sangat orang yang meraih pendapatan lima angka sebulan. Sekurang-kurangnya dah ada rumah sendiri berapa ramai lagi orang yang tidak mampu beli rumah. Kira ok lah aku ni… ”.

Sikap puashati beginilah yang membuatkan kita berhenti untuk berusaha dan mencipta kejayaan yang lebih besar lagi. Kenapa tidak kita ambil contoh orang yang lebih berjaya dari kita? Kenapa sering membandingkan diri dengan orang yang lemah dan kurang dari kita?
Bandinglah dengan mereka yang lebih berjaya, yang memiliki bangunan sendiri, yang menjadi jutawan, yang berkereta mewah, yang memiliki rumah-rumah untuk disewakan dan sebagainya maka barulah tercabar bahawa kita belum lagi OK!

Jadi, usah lagi berpuashati dengan pencapaian kita kerana setiap kali kita berjaya maka kita pasti boleh pergi lebih jauh lagi.

4. Soal Diri Dengan Soalan Positif:

Untuk berjaya, soal diri dengan soalan-soalan yang positif.

Misalnya, soalan-soalan seperti berikut hanya membawa diri kita untuk merasa lemah dan tidak berdaya:

Kenapalah aku gagal? Mengapa nasib aku sentiasa malang? Kenapalah orang semua tak suka aku? Apalah nak jadi dengan aku ni?

Sebaliknya soalan-soalan berikut pula akan membuatkan kita berfikir, mencabar diri dan membolehkan kita mengumpul kekuatan untuk atasi setiap halangan.

Apa yang belum aku lakukan lagi? Bagaimana aku nak tingkatkan 20% lagi pendapatan aku bulan depan? Apakah kelebihan diri aku yang belum aku bongkar lagi? Siapa yang boleh bantu aku?

Jadi kita tidak berjaya kerana bertanyakan soalan yang salah kepada diri kita. Oleh itu berhati-hatilah dengan suara hati. Nilai betul-betul soalan yang kita tanyakan pada hati kita adakah ia akan mencabar kita untuk terus maju atau hanya melemahkan kita.

5. Tingkatkan ‘Standard’ Anda:

Untuk berjaya kita kena cabar diri untuk tingkatkan ‘standard’ kita.

Misalnya, kita berkata pada diri kita bahawa;

Tidak ‘standard’lah untuk selama-lamanya jadi kerani, 5 tahun dari sekarang mesti nak jadi pengurus pula.
Tidak ‘standard’ lah untuk selama-lamanya bekerja dengan orang, 10 tahun dari sekarang mesti jadi bos pula.
Tidak ‘standard’ lah selama-lamanya dapat markah ‘C’, 3 bulan dari sekarang aku mesti dapat ‘A’ pula.
Tidak ‘standard’ lah asyik bawa kereta Jepun aje, 5 tahun dari sekarang aku mesti nak bawa kereta Jerman pula.
Tidak ‘standard’ lah untuk berumah teres sahaja, 10 tahun dari sekarang aku mesti nak ada rumah banglo pula.

Tujuannya bukan untuk menunjuk-nunjuk atau untuk takbur tetapi untuk membuatkan kita mahu berusaha lebih gigih lagi demi memenuhi tuntutan hidup kita yang mengikut ‘standard’ baru itu. Lagi pula kita tidak melafazkan kata-kata itu kepada orang lain tetapi kita tujukan kata-kata tersebut hanya kepada diri sendiri sebagai satu bentuk cabaran.

Perlu diingatkan bahawa kita hanya boleh hidup dalam ‘standard’ yang lebih tinggi hanya setelah kita berjaya merealisasikan pendapatan yang mampu menampung ‘standard’ tersebut. Jangan pula menjadi orang yang papa asal bergaya.

Malah Islam sendiri tidak menghalang umatnya untuk hidup selesa apabila punya kemampuan. Asal sahaja keselesaan itu tidak menghalang kita untuk terus menjadikan hidup ini sebagai suatu ibadah yang mengningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita.

Oleh itu, teruslah cabar diri untuk berjaya dalam hidup kita!!!!.....

Tips Belajar....

BERIKUT INI DI PERTURUNKAN BEBERAPA TIPS - TIPS PEMBELAJARAN BERKESAN YANG MUNGKIN BERGUNA UNTUK ANDA SEMUA KHUSUSNYA PARA PELAJAR

1. JADUAL BELAJAR - SEHARUSNYA ADA 2 JADUAL BELAJAR IAITU JADUAL PEMBELAJARAN BAGI MENGHABISKAN SUKATAN DAN JADUAL BELAJAR HARIAN.KEGUNAAN JADUAL BELAJAR ADALAH AGAR MENDORONG MOTIVASI BELAJAR DI SAMPING PEMBELAJARAN TERSUSUN.PUN DEMIKIAN JADUAL SAHAJA TIDAK BERGUNA JIKA TIDAK DI IKUT...SO DISPILIN DIRI SANGAT PENTING.....

2. DISIPLIN DIRI - DISIPLIN DIRI AMAT PENTING BAGI MENJAMIN KEJAYAAN SESEORANG DALAM PEMBELAJARAN TANPA DISIPLIN DIRI PERATUSAN UNTUK CEMERLANG DALAM PELAJARAN ADALAH KURANG.DISIPLIN ASAS KEJAYAAN.PUN DEMIKIAN SELALUNYA MANUSIA AMAT SUKAR MENGAWAL DISIPLIN DIRI....UNTUK MENGATASI MASALAH INI MAKA KITA SEHARUSNYA PANDAI MEMOTIVASIKAN DIRI SENDIRI....CTH....INGAT KESUSAHAN KELUARGA...INGAT CITA-CITA DAN SEBAGAINYA

3. MOTIVASI BELAJAR - SELALUNYA MOTIVASI BELAJAR YANG KURANG AMAT BERKAIT RAPAT DENGAN DISIPLIN DIRI DISAMPING PENGARUH PELBAGAI FAKTOR SEPERTI MASALAH PERIBADI, MASALAH KELUARGA DAN SEBAGAINYA. UNTUK MENGATASI MASALAH INI JUMPALAH KOUNSELOR ATAU CUBA MEMOTIVASIKAN DIRI SENDIRI.

4. TEKNIK MENJAWAB PEPERIKSAAN - HAL INI AMAT PENTING BAGI KITA MENGETAHUI CARA YANG TERBAIK UNTUK MENJAWAB SATU - SATU KERTAS PEPERIKSAAN.KADANGKALA JAWAPAN KITA MENJADI SALAH ATAU KITA LAMBAT MENJAWAB AKIBAT KETIADAAN PENGETAHUAN DALAM HAL INI.SEMINAR TEKNIK MENJAWAB INI SELALUNYA AKAN DIADAKAN OLEH PIHAK SEKOLAH.GURU-GURU MATA PELAJARAN ANDA JUGA TAHU TENTANG PERKARA INI.

5. LATIH TUBI MENJAWAB SOALAN PEPERIKSAAN SEBENAR TAHUN - TAHUN LEPAS - PERKARA INI PUN SANGAT PENTING BAGI MENDEDAHKAN KEPADA KITA CORAK SOALAN DAN TAHAP KESUSAHAN SOALAN SEBANAR. BONUSLAH BAGI KITA KALAU ADA SOALAN BERULANG.BUKU - BUKU SOALAN PEPERIKSAAN SEBENAR TAHUN - TAHUN LEPAS BOLEH DIBELI DI KEDAI2 BUKU...JOM BELI...TAK ADA PERUNTUKAN CUABA CARI DI PERPUSTAKAAN...JOM PINJAM.

6. BUKU TEKS DAN BUKU RUJUKAN - KEDUA-DUA PERKARA TERSEBUT ADALAH SANGAT PENTING SEBAGAI SUMBER ILMU PENGETAHUAN KITA. TAMBAHAN PULA BAGI SETENGAH PELAJARAN SKEMA JAWAPAN YANG DIBUAT OLEH LEMBAGA PEPERIKSAAN ADALAH BULAT - BULAT DARIPADA BUKU TEKS. SEKARANG BUKU TEKS DAH FREE...BUKU RUJUKAN BOLEH DIBELI...KALAU TAK MAMPU...PINJAM SAJA DI PERPUSTAKAAN .....

7. TUMPUAN SEMASA GURU MENGAJAR - PARA PELAJAR SEKELIAN PENUMPUAN SEMASA GURU MENGAJAR ADALAH SANGAT PENTING BAGI MENJAMIN KITA MEMAHAMI TOPIK PEMBELAJARAN.SEKIRANYA ANDA TIDAK FAHAM SEMASA GURU MENGAJAR BERANIKAN DIRI UNTUK BERTANYA...PEMBELAJARAN AKAN LEBIH BERKESAN SEKIRANYA ANDA SUSULI PENGAJARAN SESEORANG GURU ITU DENGANMEMBUAT LATIHAN - LATIHAN BERKAITAN PEMBELAJARAN TERSEBUT.

8. PELAJARI DAHULU SATU - SATU TOPIK ITU SEBELUM GURU MENGAJARNYA DI KELAS - SEBAIK MUNGKIN ANDA SEPATUTNYA MEMPELAJARI DAHULU SATU SATU TOPIK PEMBELAJARAN SEBELUM GURU MENGAJARNYA DI KELAS.RASIONALNYA ..IALAH APABILA GURU MENGAJAR KELAK ANDA AKAN SENANG MEMAHAI TOPIK TERSEBUT DAN ANDA AKAN TAHU BERTANYA PERKARA YANG ANDA TIDAK FAHAM...SILA AMALKAN...

9. MASALAH MENGANTUK SEMASA BELAJAR - ADAKAH ANDA TERGOLONG DALAM GOLONGAN YANG MENGANTUK KETIKA BARU MENTELAAH PELAJARAN?...KALAU YA MAKA ANDA PERLU MEMBUAT SENAMAN RINGAN,BELAJAR DITEMPAT YANG TERANG PENCAHAYAANNYA,MEMBASUH MUKA DAN MEMBASAHKAN KEPALA,KALAU DAH TAK TAHAN SANGAT TIDURLAH SEKEJAP BARANG 10, 20 MINIT.......

10. JANGAN AMALKAN BUDAYA MENANGGUH - BUDAYA MENANGGUH AKAN MENYEBABKAN PEMBELAJARAN KITA TERTANGGUHNYA AKHIRNYA KITA KETINGGALAN LALU WUJUD PERASAAN MALAS DAN PUTUS ASA...DISIPLINKANLAH DIRI ANDA ...DEMII MASA DEPAN YANG LEBIH BAIK

11. BUDAYA MALU BERTANYA - SEKIRANYA ANDA SEORANG YANG MALU BERTANYA TENTANG PELAJARAN YANG ANDA TIDAK FAHAMI MAKA...ANDA HARUSLAH MEMBUANG TABIAT TERSEBUT DAN MULALAH BERTANYA...KEPADA KAWAN2 YANG PANDAI

12. DAYA INGATAN LEMAH - JIKA DAYA INGATAN ANDA LEMAH MAKA BACALAH BERULANG2 SEHINGGA INGAT DENGAN CARA MEMBUAT NOTA - NOTA RINGKAS..DAN CARTA - CARTA ALIRAN, PETA MINDA DAN SEBAGAINYA...

13. NOTA RINGKAS - NOTA RINGKAS INI ADALAH ISI -ISI PENTING PEMBELAJARAN YANG TELAH ANDA FAHAMI....MEMBANTU MEMENGINGATI FAKTA PEMBELJARAN DAN MEMPERCEPATKAN PEMBELAJARAN ANDA.

14. MASALAH PERIBADI DAN KELUARGA - SESUNGGUHNYA KEDUA - DUA MASALAH TERSEBUT BOLEH MENJEJASKAN PENCAPAIAN KITA DALAM AKADEMIK. OLEH ITU CARILAH PENYELASAIAN TERBAIK UNTUK MENGATASINYA....BERJUMPALAH KAUNSELOR ATAU MINTA PANDANGAN KAWAN2 ATAU BERBINCANG DENGAN PIHAK KELUARGA.....

15. MEMILIH KAWAN - TINDAKAN ANDA BIJAK SEKIRANYA ANDA MEMILIH KAWAN2 YANG RAJIN BELAJAR DAN PANDAI DALAM PEMBELAJARAN.WALAU PUN ANDA MUNGKIN SEDERHANA SAHAJA DALAM PEMBELAJARAN TETAPI MUDAH - MUDAHAN KAWAN2 ANDA AKAN DAPAT MEMBANTU ANDA...

16. MEMBUAT TARGET KEPUTUSAN PEPERIKSAAN - ANDA BUATLAH TARGET UNTUK KEPUTUSAN PEPERIKSAAN YANG AKAN ANDA HADAPI....TUJUANNYA AGAR MENDORONG ANDA BERUSAHA GIGIH UNTUK MENCAPAINYA...

17. STUDY SMART DAN STUDY HARD - KEDUA - DUA PRINSIP PEMBELAJARAN INI SEHARUSNYA DIPEGANG SEKIRANYA ANDA INGIN MENCAPAI KEPUTUSAN YANG CEMERLANG.

18. MASALAH BENCI GURU MATAPELAJARAN DAN BENCI DENGAN MATA PELAJARAN - JIKA ANDA MENGALAMI MASALAH INI MAKA USAKAN AGAR ANDA TIDAK TERUS TERJERUMUS DALAM MASALAH INI KERANA ANDA AKHIRNYA YANG AKAN MENANGGUNG KERUGIAN.

19. KESESUAIAN MASA BELAJAR DENGAN MATA PELAJARAN YANG HENDAK DIPELAJARI - SEKIRANYA ANDA DALAM KEADAAN AGAK MENGANTUK PELAJARILAH MATA PELAJARAN YANG MELIBATKAN PROSES KIRA - MENGIRA DAN SEBALIKNYA.

20. BERDISIPLIN, BERUSAHA, BERDOA DAN BERTAWAKKAL ADALAH KUNCI KEJAYAAN Anda.

Sumber: Lohanranau.blogspot.com

Akal VS Otak



Apa komen anda mengenai akal dan otak?

AKAL merupakan sesuatu yang maknawi dan abstrak manakala OTAK pula sesuatu yang material. Ada pendapat yang mentakrifkan akal itu sesuatu jauhar yang mudah dan pendapat mengatakan akal itu adalah jiwa atau pemikiran.

Satu kaedah menyebut, “Banyaknya nama bagi musamma' (yang dinamakan) menunjukkan mulia atau jeleknya musamma' itu”.

Di mana letaknya akal dan otak? Ada yang mengatakan akal itu letaknya di kepala dan ada juga yang mengatakan letaknya di hati. Manakala otak pula letaknya di kepala. Kalau kita lihat dan renung, Allah Ta’ala memberikan otak kepada makhluknya yang bernyawa tetapi tidak semua yang berotak itu berakal. Sebagai contoh: ayam, ada otak tapi tidak berakal, tidak ada perhintungan dosa pahala, halal haram sesuatu perkara.

Tetapi bagi makhluk yang bernama manusia, Allah Ta’ala kurniakan kepada kita akal sebagai ‘penapis’ untuk memastikan sesuatu perkara itu bertentangan ataupun tidak dengan syariat dan fitrah. Sebab itu pentaklifan hukum syara’ mementingkan akal dan bukannya otak sebagai misalan; solat, antara syarat sah solat ialah berakal dan begitulah seterusnya ibadat-ibadat lain.



Otak hanya berfungsi untuk merealisasikan apa yang ‘ditapis’ oleh akal. Akal yang sihat akan melakukan perkara yang baik manakala akal yang tidak sihat akan melakukan perkara yang sebaliknya. Suatu elemen yang mampu mempengaruhi akal adalah nafsu. Nafsu jika ditemukan dengan akal yang sihat maka akan memberikan impak yang positif kepada manusia. Tetapi, nafsu jika ditemukan dengan akal yang sakit maka akan memberikan impak yang negatif kepada tuannya.

Apakah formula untuk membina akal yang sihat? Setakat yang penulis tahu, terdapat ramai pakar motivasi memberikan tips untuk membina otak yang sihat dan jarang yang memberikan tips untuk membentuk akal yang sihat.

Di sini saya ingin berkongsi formula untuk membina akal yang sihat:

Keimanan yang benar kepada Allah Ta’ala.
Melakukan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya.
Mendengar peringatan.
Mengingati kematian.

Sebenarnya banyak lagi formula untuk membina akal yang sihat dan apa yang dinyatakan di atas cuma sebahagiannya sahaja.

Sebagai kesimpulannya, jaga dan peliharalah akal kita daripada perkara yang merosakkan. Akal mestilah mendahului nafsu dengan berpaksikan kepada petunjuk Ilahi dan bukan sebaliknya.

Wallahu ‘alam.


Sumber:**http://cintaagung.blogspot.com